RUMAH agam milik Putera Harry dan Meghan Markle di selatan California, Amerika Syarikat (AS) telah didatangi pasukan polis sebanyak sembilan kali dalam tempoh sembilan bulan. Pejabat polis Santa Barbara County menerima beberapa panggilan telefon, pengaktifan penggera dan jenayah harta benda sejak pasangan itu berpindah ke kediaman mereka di Montecito sejak Julai tahun lalu. Mereka mendiaminya bersama anak lelaki berusia setahun, Archie. Data tersebut diperoleh berdasarkan undang-undang Kebebasan Maklumat oleh agensi berita PA, yang dikeluarkan setelah pasangan itu berkongsi kebimbangan mengenai keselamatan mereka dalam wawancara kontroversi bersama pengacara, Oprah Winfrey. Pasukan polis dipanggil sebanyak empat kali pada Julai tahun lalu selepas Harry dan Meghan bepindah ke Montecito dari Los Angeles. Mereka menjadikannya sebagai tempat tinggal sementara sejak meninggalkan Kanada ketika awal pandemik Covid-19. Satu panggilan disenaraikan sebagai permintaan menerusi panggilan telefon, manakala yang lain dilabelkan sebagai pengaktifan penggera. Kesemua insiden berlaku pada awal pagi. Panggilan terbaharu yang diterima mereka adalah pada pukul 2.21 pagi waktu tempatan 16 Februari tahun ini, dan ia disenaraikan sebagai pengaktifan penggera. Keselamatan pasangan itu menjadi perhatian berikutan wawancara mereka bersama Oprah pada Mac. - Mirror Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!