suria

Gempa bumi 6.0 magnitud gegar Pulau Jawa, sekurang-kurangnya 6 terbunuh

Rumah seorang penduduk kampung rosak teruk selepas dilanda gempa kuat di Malang. Foto: Antara Foto/Reuters

GEMPA bumi kuat dengan skala 6.0 magnitud menggegarkan Pulau Jawa, Indonesia, pada Sabtu, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh.

Gempa kuat dengan kedalaman 82 kilometer, melanda perairan luar pesisir yang terletak kira-kira 45 kilometer di barat daya Malang di Jawa Timur.

"Agensi merekodkan enam individu terbunuh dan seorang mengalami cedera parah," kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Raditya Jati, sambil menambah penduduk di beberapa perkampungan di Jawa Timur telah dipindahkan.

Bongkah batu yang runtuh mengenai seorang wanita yang membonceng motosikal dan mengakibatkannya maut manakala suaminya pula cedera, dalam kejadian di daerah Lumajang Jawa Timur, kata Jati.

Puluhan rumah di kebanyakan daerah rosak teruk, dan pasukan penyelamat menemukan dua mayat daripada runtuhan rumah di kampung Kali Uling, juga di daerah yang sama.

Sementara itu dua individu disahkan terbunuh di kawasan sempadan antara daerah Lumajang dan Malang, manakala satu lagi mangsa yang meninggal dunia ditemui di bawah runtuhan di Malang.

Sehingga kini masih belum jelas sama ada angka korban akan bertambah.

Terdapat gempa susulan namun dilaporkan tiada risiko berlakunya tsunami, kata agensi geofizik Indonesia. - CNA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain