PUTERA Harry dan isterinya, Meghan Markle pastinya antara individu yang menjadi tumpuan susulan pemergian Putera Philip. Duke dan Duchess of Sussex itu turut tampil mengeluarkan kenyataan sejurus selepas berita kematian datuk mereka disahkan Istana Buckingham. Hanya 10 patah perkataan, Harry dan Meghan memuat naik ucapan ringkas itu di laman web Archewell, sebuah badan yang ditubuhkan mereka. "Thank you for your service. You will be greatly missed. (Terima kasih atas perkhidmatan anda. Anda akan sentiasa dirindui)," demikian ucapan tersebut. Harry dan Meghan tidak lagi bertemu dengan Duke of Edinburgh sejak mereka meninggalkan United Kingdom (UK) pada Mac 2020. Pasangan itu meninggalkan Britain selepas mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada keluarga Diraja. Tetapi sumber mendakwa Harry mahu bersama neneknya, Ratu Elizabeth II, 94, yang berkabung. Sumber memberitahu Daily Mail, Harry akan berusaha pulang ke UK untuk bersama keluarganya. "Tiada apa lagi yang dia (Harry) mahukan selain bersama keluarga, terutama neneknya, dalam menghadapi saat sukar dan sedih ini. "Meghan sedang hamil, jadi dia perlu meminta nasihat daripada doktornya sama ada dia selamat untuk melakukan perjalanan, tetapi saya rasa Harry pasti akan pulang," demikian menurut sumber itu. Terdahulu, Istana Buckingham mengumumkan berita kematian Putera Philip yang menghembuskan nafas terakhir di Istana Windsor, pada usia 99 tahun. - Dailystar Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!