RATU Elizabeth II berkongsi salah satu gambar kesukaan baginda bersama mendiang Putera Philip, beberapa jam sebelum penghormatan terakhir. Duke of Edinburgh mangkat pada Jumaat lalu, dua bulan sebelum menyambut ulang tahun ke-100. Upacara pengebumian akan berlangsung di Gereja St George, Istana Windsor di barat London pada Sabtu, 17 April. Berdasarkan foto pasangan diraja yang jarang bergambar bersama itu, mereka dilihat sedang bersantai dan menikmati pemandangan indah di tanah tinggi di Scotland. Dengan wajah yang tenang dan tersenyum, Ratu Elizabeth dan Putera Philip berehat di atas rumput Coyles of Muick, lokasi indah dekat bandar Ballater di Aberdeenshire, Scottish Highlands. Putera Philip berbaring di atas alas dengan menahan badannya menggunakan siku. Menerusi gambar yang dirakamkan pada 2003 itu, Ratu Elizabeth kelihatan anggun memakai skirt, blaus dan kardigan serta rantai mutiara, juga duduk di atas alas. - Mirror Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!