KAWASAN pesisiran pantai yang terletak di Pulau Corsica, Perancis terpaksa ditutup kepada pengunjung selepas lembu mengamuk dan menyerang orang awam yang sedang bercuti baru-baru ini. Pulau yang terletak di Mediterranean itu mempunyai populasi lembu sebanyak 15,000 ekor hasil daripada polisi pertanian Kesatuan Eropah (EU) yang menggalakkan petani baharu membeli dan menternak anak lembu. Begitupun menurut laporan The Times, seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital selepas ditanduk di bahagian leher di pantai Lotu yang terletak di utara pulau. ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Lembu mengamuk terjah hospital, orang ramai bertempiaran lari ARTIKEL BERKAITAN: Wakil rakyat India minum air kencing lembu untuk elak jangkitan Covid-19 Selain itu, sekumpulan lembu juga bertindak ganas mengejar para pelancong yang berada di bandar manakala seorang wanita berusia 70 tahun diserang ketika sedang menjemur pakaian minggu lepas. Datuk Bandar Lozzi, Francois Acquaviva ketika ditemu bual akhbar tempatan, Corse-Matin berkata, insiden yang berlaku itu benar-benar serius. “Wanita itu mengalami pendarahan dan cedera parah di paha. Jika perkara ini terus berleluasa, pasti akan ada kematian berlaku,” katanya. Sementara itu, di bahagian selatan pulau berdekatan Ajaccio, kawasan pantai dilaporkan ditutup selepas terdapat sekumpulan anak lembu dilihat merosakkan kereta, harta awam dan mengganggu orang ramai yang sedang berkelah. Seorang pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada pelancong supaya tidak memandang insiden ini dengan sambil lewa. “Pelancong bergelak ketawa seolah-olah ia sebuah cerita rakyat dan mengambil gambar, tetapi ini adalah makhluk perosak yang nyata,” katanya. - Daily Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI