suria

Sijil nikah berusia 150 tahun ditemui di belakang bingkai gambar, angkara cinta terlarang?

MISTERI sijil perkahwinan berusia 150 tahun yang disembunyikan di belakang bingkai gambar membangkitkan persoalan sama ada ia berpunca daripada perkahwinan yang tidak direstui keluarga di Amerika Syarikat. — AGENSI.

SIJIL perkahwinan berusia hampir 150 tahun telah ditemui di sebuah kedai barangan terpakai di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu dan ia akan dikembalikan kepada cucu perempuan pasangan pengantin berkenaan dalam masa terdekat.

Pengarah Eksekutif Hope Harbour Karmen Smith berkata, Pam Phelps yang juga Penolong Pengurus Hope Chest Thrift Store Bolivia, terlebih dulu sedang membersihkan bingkai gambar pada 26 Julai lalu sebelum dia menemui sijil itu di bahagian belakang bingkai.

Di bawah foto itu, Smith berkata, terselit sijil perkahwinan pasangan New Jersey bertarikh 11 April 1875.



Sijil perkahwinan William dan Katey ditemui disebalik bingkai gambar ini. -AGENSI

Dokumen itu dipercayai telah wujud begitu lama sehinggakan sekadar memaparkan nama pertama pasangan itu, William dan Katey.

Phelps menyimpan dokumen berusia 146 tahun itu sebelum diserahkan kepada Smith.

“Saya pelik mengapa dokumen ini disembunyikan.

“Adakah ia disebabkan cinta terlarang? Mungkin perkahwinan itu diadakan secara rahsia untuk melindungi anak yang dilahirkan terlalu awal. Saya perlu tahu jawapannya,” kata Smith kepada People.

Bagi mencari jawapan bagi teka-tekinya, Smith memutuskan untuk mengiklankan sijil itu ke laman Facebook untuk menjejaki waris keluarga pasangan itu.

Smith kemudiannya mendapat mesej daripada seorang genealogis tempatan, Connie Knox yang banyak menghabiskan hujung minggunya membuat penyelidikan melalui Ancestry.com.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis berjaya jual nacho 'inti angin' pada harga RM84,000

Knox memberitahu, cucu pasangan itu, Irene Cornish dari New York Mills, New York akhirnya tampil membuat pengakuan setelah melawat laman web itu.

“Saya sudah lama tidak melayari Ancestry.com, kebetulan saya menyedari bahawa saya mempunyai pesanan berhubung perkara ini,” kata Cornish.

Cornish berkata, beliau tidak pasti bagaimana kisah datuk dan neneknya bermula dan mengapa sijil itu berada di North Carolina.

Beliau berkata, neneknya, Katherine atau Katey Havey berpindah ke AS ketika peristiwa bersejarah Kelaparan Kentang Ireland.

Katanya, Katey bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di Bordentown, New Jersey sehingga mendapat taraf kewarganegaraan AS.

Datuknya, William DeWorth pula, jelasnya, telah membina, menyewa dan membuat aktiviti di pesta ria untuk meneruskan hidup.

Difahamkan, William dan Katherine juga mempunyai anak berusia dua tahun sebelum sijil perkahwinan mereka diterbitkan.

Smith berkata, Cornish dijangka akan mengunjungi kedai barangan terpakainya bagi menuntut semula sijil nikah datuk dan neneknya itu tidak lama lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain