suria

Angkara kurang kakitangan, restoran terpaksa ambil banduan sebagai pekerja

KEKURANGAN kakitangan ketika pandemik Covid-19 memaksa majikan mengupah banduan di Britain.— AGENSI.

KEKURANGAN kakitangan telah memaksa pengeluar makanan dan restoran di Britain untuk melatih para banduan bagi mengisi kekosongan pekerjaan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, rak pasar raya di seluruh negara dilihat terbiar kosong akibat peningkatan kes pandemik Covid-19, manakala perdagangan pasca-Brexit telah menyaksikan kekurangan pekerja secara drastik termasuk pemandu HGV, pemetik buah dan pekerja kilang.

Memetik laporan Daily Mail, sektor perniagaan di Britain kini berusaha keras untuk mengambil banduan sebagai kakitangan berikutan lonjakan permintaan barangan yang mendadak.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dilarang lawat cimpanzi di zoo gara-gara mengaku mereka ‘bercinta’

Pada masa sama, Konsortium Runcit Britain turut memberi amaran kepada Setiausaha Perniagaan Britain, Kwasi Kwarteng bahawa kekurangan kira-kira 90,000 pemandu HGV juga akan memberi tekanan kepada peruncit dan rantaian bekalan mereka.

Dalam surat ditandatangani bersama oleh kumpulan perdagangan barangan Logistik United Kingdom (UK), kumpulan itu turut memberi amaran bahawa keadaan akan bertambah buruk apabila sekolah dibuka semula pada September depan khususnya apabila kakitangan kembali semula bekerja di pejabat.

Sebelum ini, ribuan kakitangan Kesatuan Eropah (EU) meninggalkan UK tahun lalu dan tidak dapat kembali berikutan peraturan Brexit yang lebih ketat, selain garis panduan perjalanan yang ketat akibat Covid-19.

Rangkaian makanan segera seperti Nando’s dan KFC juga dilaporkan berdepan kesulitan apabila kilang-kilang pembekal terpaksa menutup beberapa cawangan minggu ini.

Ia sekali gus memaksa sektor perniagaan terbabit tidak memiliki pilihan alternatif melainkan menggajikan banduan sebagai kakitangan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Persekutuan Pengedar dan Pemborong, James Bielby berkata, mana-mana pembeli yang bijak pastinya menyedari kekurangan barangan di mana-mana kedai runcit.

"Masalah ini tidak akan selesai sehingga selepas Krismas kecuali jika pemerintah campur tangan,” katanya.

Jurucakap Kementerian Kehakiman pula berkata, usaha mana-mana majikan untuk menggajikan banduan tetap berisiko.

“Namun, kami akan menyokong semua industri yang kekurangan kemahiran dan berusaha untuk meningkatkan tahap pelepasan lesen sementara ke tahap pra-pandemik sepertimana yang dibenarkan ketika sekatan,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

banduan, pekerja, Covid-19

Artikel Lain