suria

Melantak 32,340 Big Mac dalam tempoh 50 tahun, lelaki pecah rekod dunia!

DONALD Gorske mengaku menikmati juadah Big Mac setiap hari sejak 1972. — AGENSI.

SEORANG lelaki berjaya memecahkan rekod dunia apabila telah melantak 32,340 biji burger Big Mac dalam tempoh 50 tahun.

Lelaki itu, Donald Gorske, 67, yang berasal dari Amerika Syarikat (AS), mengaku makan burger keluaran restoran makanan segera McDonald's tersebut setiap hari sejak 1972.

"Apabila saya menyukai sesuatu, saya akan terus melakukannya setiap hari. Kali pertama saya makan Big Mac, saya memandu ke McDonald's dan memesan tiga biji burger berkenaan, lalu masuk ke dalam kereta serta terus menjamahnya.

"Sejak saat itu, saya berasakan mahu makan burger ini sepanjang hidup saya," katanya kepada Guinness World Records.

ARTIKEL BERKAITAN: Minta kerja di McD selepas kejadian tak cukup duit bayar sundae cone, wanita ini tak sangka berjodoh dengan staf yang ‘selamatkan’ dirinya

ARTIKEL BERKAITAN: Bungkusan BTS Meal jadi kasut!... Idea kreatif si penata gaya ini dianggap genius

Dalam pada itu, menurut Guinness World Records, Gorske telah makan sekurang-kurangnya dua burger Big Mac yang mempunyai 563 kalori setiap hari sejak 50 tahun lalu.

Lelaki tersebut juga pernah mencatatkan rekod peribadi apabila makan sehingga sembilan biji Big Mac dalam masa sehari.

Selain itu, Gorske akan menyimpan kesemua bungkusan dan resit pembelian mengikut tahun dan turut memantau jumlah pemakanannya setiap hari.

Menariknya, kadar kandungan gula dan kolesterol kekal rendah dalam badan Gorske kerana dia hanya makan Big Mac tanpa kentang goreng atau makanan berlemak lain.

Gorske juga sering berjalan kaki sejauh 10 kilometer bagi mengekalkan tahap kesihatannya.

Kisah tentang Gorske pernah diangkat dalam filem Super Size Me arahan Morgan Spurlock pada 2004. - Kompas.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

McDonald's, makan

Artikel Lain