SEORANG wanita dilarang melawat seekor cimpanzi di sebuah zoo di Belgium. Larangan itu dibuat susulan wanita berkenaan membuat kenyataan bahawa dia dan haiwan itu 'mempunyai hubungan'. Wanita tersebut, Adie Timmermans sering melawat Chita, seekor cimpanzi jantan berusia 38 tahun yang ditempatkan di Zoo Antwerp di Belgium, sejak empat tahun lalu. Menurut Adie, dia dan cimpanzi itu menjalin ikatan yang kuat dan mereka 'saling mencintai'. Bagaimanapun, pegawai Zoo Antwerp memberitahunya bahawa dia tidak lagi boleh berhubung dengan Chita. Mereka menjelaskan binatang itu telah dipinggirkan daripada kumpulan cimpanzi yang lain. Bercakap kepada saluran berita ATV, Adie berkata: "Saya cintakan haiwan itu dan dia cintakan saya. Saya tiada punya apa-apa lagi. Mengapa mereka mahu mengambilnya?" "Kami menjalinkan hubungan. Puluhan pengunjung lain dibenarkan untuk melawat. Jadi, kenapa saya tidak dibenarkan?," soalnya. Menurut pihak zoo, kesejahteraan Chita mungkin terganggu dan mereka hanya mahu haiwan itu gembira. "Haiwan yang terlalu fokus kepada orang akan kurang dihargai oleh rakan sejenisnya. Kami mahu Chita menjadi cimpanzi sebaik mungkin," kata mereka. - India Times Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI