SEBUAH gua di Missouri, Amerika Syarikat (AS) yang dipenuhi dengan seni kuno baru-baru ini dijual kepada pembeli tanpa nama dengan harga AS$2.2 juta (RM9.16 juta). Picture Cave, yang merupakan rumah bagi lukisan kuno hasil karya dari suku kaum orang asli The Osage Nation, dilelong oleh Selkirk Auctioneers & Appraisers pada Selasa lalu. Tapak gua yang ditemui bermula tahun 800 hingga 1,100 Masihi itu dianggap tapak seni batu paling penting di Amerika Utara. Memetik buku Picture Cave-Unraveling the Mysteries of the Mississippian Cosmos, halaman lelongan berkata, gua kuno itu adalah tempat bagi ritual suci, kajian astronomi, sejarah lisan dan banyak lagi. Terdapat lebih dari 290 hasil seni di dinding gua berkenaan. Bercakap kepada pemberita, jurucakap The Osage Nation berkata,pihaknya menentang penjualan gua berkenaan. Katanya, nenek moyang mereka telah menetap di daerah itu selama 1,300 tahun. “Ini adalah tanah kami. Kami mempunyai ratusan ribu nenek moyang yang dikebumikan di seluruh Missouri, Illinois dan Picture Cave. Pegawai pemeliharaan sejarah kaum untuk The Osage Nation, Andrea Hunter berkata:” Nenek moyang kami yang dikebumikan di gua itu. “Nenek moyang kita yang membuat gambar yang ada di dinding serta melakukan ritual. “Ini adalah kawasan paling suci yang kami ada dan semestinya ia adalah hak milik kami,” Sebelum ini, The Osage Nation melakukan percubaan untuk menyekat tindakan melelong Picture Cave. Suku dan Dana Pemuliharaan dan Perkhidmatan Ikan serta Hidupan Liar AS berusaha membeli Picture Cave dari keluarga yang memiliki tanah tersebut bagi tujuan memburu sejak 1953, tetapi semua pihak terlibat tidak menyetujui kos seperti yang dicadangkan. Untuk rekod, gua terbabit adalah tempat pemakaman manusia, yang mana undang-undang Missouri menetapkan tindakan merosakkan harta benda atau mendapat keuntungan dari barangan budaya di sana sebagai satu kesalahan jenayah. Pada masa sama, ejen dan pelelong Amelia Jeffers memberitahu Fox 2 bahawa pembeli tinggal berdekatan dengan gua serta berasal dari Missouri. "Mereka ingin melihat harta dan tanah dipelihara disebabkan gua itu sangat dilindungi dan dipulihara serta menjadi buah mulut sepanjang persiapan lelong ini," kata Jeffers. — People Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI