BAYANGKAN anda sedang menggunakan aplikasi Google Maps ketika memandu dan tiba-tiba terdengar suara yang aneh keluar daripada aplikasi itu, tentunya terasa pelik. Perasaan sama turut dikongsikan oleh para pengguna aplikasi berkenaan di laman Reddit dan Twitter baru-baru ini. "Saya menggunakan tetapan suara Bahasa Inggeris dan kebiasaannya adalah suara wanita. "Dalam perjalanan pulang hari ini, saya tiba-tiba mendengar arahan suara seperti seorang lelaki India. "Ada sesiapa yang mempunyai masalah sama?" kata pengguna Reddit, @u/couverando1984. Perkongsiannya itu menerima maklum balas pengguna Reddit dan Twitter. Seorang lagi pengguna Reddit menyatakan dia cuba mencari arahan suara misteri itu di tetapan aplikasi berkenaan tetapi tidak menjumpainya. Masalah itu dilaporkan berlaku pada peranti Android dan Apple. Beberapa pengguna Twitter turut membuat aduan kepada pihak Google Maps di Twitter. "Kami memohon maaf atas pengalaman yang anda hadapi. Pasukan kami sedang cuba membaiki masalah itu dan kemaskini akan diberikan secepat mungkin. "Terima kasih atas kesabaran anda," jelas Google Maps. — The Sun Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI