suria

Lelaki pecah rekod sendiri, tarik bas seberat 15,150 kilogram

FAST menarik bas sejauh 12 meter di West 67th Street di Manhattan, New York, Amerika Syarikat. — Agensi

SEORANG lelaki dari Kanada, memecahkan Rekod Dunia Guinness dalam kategori menarik item terberat dengan menggunakan bahagian atas badan di New York, Amerika Syarikat.

Rekod itu dipecahkan oleh Kevin Fast, 58 yang menarik bas elektrik milik Metropolitan Transportation Authority (MTA) seberat 15,150 kilogram dan sepanjang 4.9 meter.

RAKAMAN video ketika Fast memecahkan rekod dunia miliknya sendiri. — YouTube/Live Kelly Ryan

Fast melakukan aksi itu dengan menarik bas tersebut sejauh 12 meter di West 67th Street di Manhattan New York.

Dia juga memecahkan rekodnya sendiri yang dilakukan pada 2017, yang mana ketika itu Fast menarik trak seberat 11,080 kilogram di Cobourg, Ontario, Kanada.

Pemangku Presiden MTA, Frank Annicaro berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada rekod bersejarah dunia.

"Menjadi sebahagian daripada rekod dunia merupakan satu kebanggaan buat syarikat kami.

"Kami juga mengucapkan tahniah kepada Fast kerana berjaya memecahkan rekod dunia," katanya.

Tambah Annicaro, MTA juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu memecahkan rekod dengan menarik bas elektrik milik syarikatnya.

Jelasnya lagi, penglibatan MTA dalam percubaan Fast bukan sekadar untuk memecahkan rekod dunia.

"Ini merupakan platform untuk kami menunjukkan komitmen kami terhadap pengaplikasian sistem bas moden, lestari dan boleh dipercayai.

"Kami juga mempunyai misi untuk menyumbang kepada persekitaran yang lebih baik dengan menyediakan perkhidmatan bas elektrik kepada warga New York," ujarnya. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain