PEKERJA di Colombia akan diberikan cuti bergaji selama dua hari sekiranya haiwan peliharaan mereka mati. Itu antara cadangan untuk memperkenalkan undang-undang baharu di negara berkenaan. Undang-undang ini bertujuan untuk mengiktiraf hubungan sentimental memandangkan kematian haiwan ternakan mungkin beri kesan emosi kepada pemiliknya. Inisiatif ini diketuai ahli Parti Liberal Colombia, Alejandro Carlos Chacon dengan mengemukakan rang undang-undang untuk menetapkan majikan mengeluarkan cuti berbayar dua hari jika ada pekerjanya sedang berkabung ekoran kematian haiwan kesayangan. “Sesetengah orang tidak mempunyai anak tetapi mereka ada haiwan kesayangan,” kata Chacon yang dipetik menerusi laporan El Tiempo. Chacon turut menambah yang belas ihsan akan dapat membantu seseorang mengatasi kesedihan dan undang-undang ini akan terpakai kepada enam per 10 penduduk Colombia yang memiliki haiwan peliharaan. Bagaimanapun, undang-undang berkenaan hanya akan terpakai jika pekerja sudah pun memaklumkan kepada majikan lebih awal sama ada mereka memiliki haiwan peliharaan atau tidak. — Agensi Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI