BEKAS pemandu peribadi Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi baru-baru ini mendedahkan 'rahsia' figura terpenting di negara itu, terutamanya ketika berada di dalam kereta. Menurut bekas pemandunya peribadinya, Suliadi, muzik metal merupakan lagu wajib yang dipasang dalam kereta setiap hari kerana Jokowi amat meminati genre tersebut. "Jokowi tidak pernah meminta macam-macam ketika berada dalam kereta. Sikapnya sangat santai, biasanya lagu-lagu seperti Metallica dan klenengan (gamelan Jawa) dipasang," ujar Suliadi dalam video yang dimuat naik di saluran YouTube Jokowi. ARTIKEL BERKAITAN: Jokowi Kekal Popular Dalam Kalangan Rakyat ARTIKEL BERKAITAN: Jokowi, Famili Serba-Serbi Sederhana Minat Jokowi dalam muzik metal juga pernah dilihat ketika beliau memegang jawatan gabenor Jakarta pada 2013. Beliau sanggup meluangkan masa untuk menonton konsert Metallica yang diadakan di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan. Suliadi kemudiannya berkongsi pengalaman uniknya bersama Jokowi. "Saya ketika itu sedang membawa Jokowi dan isterinya, Iriana meronda sekitar Solo. Namun tiba-tiba kereta mati di tengah jalan. "Saya pun meminta Jokowi untuk memandu kereta itu sementara saya menolak kenderaan tersebut. Namun tidak disangka, Jokowi yang membantu menolak kereta berkenaan," katanya. Suliadi turut mengakui sepanjang menjadi pemandu peribadi Jokowi, dia tidak pernah dimarahi. "Jokowi juga tidak pernah berubah layanannya kepada keluarga saya walaupun beliau menjadi Presiden," menurutnya. — Detik Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI