suria

Bertahun tanggung sakit, wanita cabut 11 batang gigi sendiri kerana tak mampu dapatkan khidmat doktor

Danielle mencabut 11 batang giginya sendiri kerana tidak tahan menanggung kesakitan.

SEORANG wanita yang bertahun-tahun menderita sakit gigi mengambil keputusan untuk mencabut sendiri 11 batang giginya.

Danielle Watts, 42, dari Suffolk berkata dia terpaksa mencari 'penyelesaian' sendiri kerana mendakwa tidak berjaya mendapat khidmat doktor gigi kerajaan dan dalam masa yang sama dia tidak mampu pergi ke ke klinik gigi swasta.

Danielle berkata dia mengalami kesakitan yang teruk pada gusi sehingga terpaksa mengambil ubat penahan sakit setiap hari.

"Saya alami masalah gusi yang teruk selama beberapa tahun kebelakangan ini dan ia menyebabkan gigi saya mulai rosak satu persatu.

"Hinggakan bila saya tekan saja, ia mudah tertanggal. Saya sudah kehilangan 11 batang gigi dan saya rasa akan hilang semua gigi saya," katanya.

Situasi yang dialami ibu kepada dua anak itu bertambah rumit kerana Suffolk merupakan salah satu kawasan yang mengalami masalah kekurangan doktor gigi yang paling teruk di United Kingdom.

"Saya tak menyangka betapa sukarnya untuk dapatkan khidmat doktor gigi kerajaan sehinggalah saya cuba mencarinya. Saya dapat senarai doktor gigi dan telefon kesemuanya, namun tiada yang sudi terima.

"Malah ada yang langsung tak jawab telefon mahupun membalas mesej.

"Ada antara mereka minta saya hubungi semula dalam tempoh empat bulan, tapi apabila saya hubungi, kisah sama berulang," ujarnya lagi. - Dailymail

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain