suria

Memasak terlalu lama, pelanggan serang pekerja restoran dengan senduk besi

Polis sehingga kini belum mengesahkan identiti pelaku. Foto: Getty.

APABILA rasa lapar menguasai diri, mungkin ada yang sanggup bertindak di luar jangkaan akal.

Begitulah yang berlaku di sebuah restoran makanan segera popular di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang mana seorang pelanggan mengamuk kerana terlalu lama menunggu untuk mendapatkan makanan.

Dalam kejadian itu, pelanggan berkenaan menyerang pekerja dengan senduk besi yang digunakan untuk menggoreng ubi kentang kerana berang menunggu terlalu lama.

Menurut polis, pelanggan wanita itu memandu ke restoran berkenaan menaiki sebuah kereta Chevrolet Impala bersama dua orang anaknya.

"Apabila makanan yang dipesan tidak siap dalam masa yang lama, dia pergi ke belakang kaunter dan menumbuk seorang pekerja menggunakan senduk penggoreng besi.

"Tindakan itu menyebabkan pekerja tersebut luka di bahagian dahi," ujar pihak polis.

Polis sehingga kini belum mengesahkan identiti pelaku.

Untuk rekod, ia bukanlah kejadian pertama seumpamanya.

Sebelum ini, seorang pelanggan mengugut untuk meletupkan cawangan restoran itu di Ankeny kerana tidak mendapat sos yang diminta olehnya. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain