suria

Wanita hilang 2 kaki selepas jangkitan virus maut disangka Covid-19

Little hilang kakinya akibat jangkitan maut.

KAKI seorang ibu dua anak terpaksa dipotong apabila dia lewat untuk mendapatkan rawatan bagi jangkitan maut kerana merasakan dia dijangkiti Covid-19.

Cher Little, 47, dari Connah's Quay, Wales, pada mulanya menyangkakan bahawa dia dijangkiti Covid-19 apabila dia mula mengalami simptom sakit kepala dan demam.

Keadaan dirinya kemudiannya bertambah teruk apabila badannya mula dinaiki ruam serta kulitnya melepuh.

Bibirnya juga bertukar warna ungu.

Bimbang akan keadaanya, keluarga Little membawanya ke hospital di mana dia kemudiannya disahkan menghidap Meningococcal Septicemia dan dikatakan mempunyai hanya 20 peratus peluang ​​untuk hidup.

Little diletakkan dalam keadaan koma namun kakinya mula kehitaman sehingga memaksa doktor untuk memotong kakinya dari paras lutut ke bawah pada Februari lalu.

"Saya rasa sangat bertuah kerana masih hidup dan bersama anak-anak dan pasangan saya, Mark," jelas Little.

Little bagaimanapun berharap dia mempunyai kesedaran tentang penyakit tersebut lebih awal.

"Jika difikirkan semula, saya sepatutnya tahu ia adalah meningitis kerana suhu saya 39 darjah dan saya sakit seluruh bahagian kepala saya.

"Tetapi ia berlaku semasa kemuncak wabak dan saya menganggap ia adalah Covid-19, saya melakukan ujian dan keputusannya negatif pada hari berikutnya.

"Pada ketika itu bibir saya berubah warna ungu, saya masih ingat masa pergi tidur, bila bangun ada ruam seperti lepuh di seluruh muka saya."

Little tersedar selepas 23 hari berada dalam keadaan koma. - Yahoo Life UK

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain