SEORANG jururawat di United Kingdom dijatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan selepas dia didapati bersalah berbelanja menggunakan kad bank pesakitnya yang hampir meninggal dunia. Leanne Wallace, 40, "mencuri" kad bank Leslie Rushworth, 84, ketika dia sedang sakit tenat disebabkan masalah radang paru-paru dan anoreksia. Wallace dilaporkan mengambil kad bank dari dompet Rushworth dan menggunakannya untuk membayar pinjaman bernilai £900, membeli katil £699, membelanjakan £74 untuk wallpaper baru dan membeli barangan di Amazon, Teesside Crown Court diberitahu. Rushworth dilaporkan dipindahkan dari Hospital Universiti North Tees di Stockton ke sebuah pusat jagaan sebelum dia meninggal dunia. Jenayah kecurian itu bagaimanapun terbongkar apabila anak lelaki Rushworth ternampak mesej daripada pihak bank di telefon bapanya. Dia pada mulanya menganggapnya sebagai spam, namun keluarga itu mula menyiasat apabila mereka menerima mesej selanjutnya. Anak Rushworth kemudiannya mendapati bahawa tempahan katil telah dibuat dan akan dihantar kepada salah seorang jururawat bapanya. Hakim berkata Wallace telah 'merosakkan reputasi pekerja jagaan di negara ini'. - Daily mail UK.Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI