SAMBUTAN Hari Krismas pastinya kurang seri tanpa pemberian hadiah untuk keluarga dan rakan-rakan tercinta. Disebalik kemeriahan itu, banyak kes kehilangan hadiah Krismas turut dilaporkan kepada pihak berkuasa. Difahamkan, ramai yang membeli hadiah secara dalam talian yang mana ia akan diserahkan kepada insan tersayang ketika Krismas nanti. Namun, disebabkan jadual penghantaran yang padat, banyak hadiah ditinggalkan di lokasi tidak selamat seperti di hadapan pintu rumah sahaja. Ia sekaligus membuka ruang kepada individu tidak bertanggungjawab untuk mencuri hadiah-hadiah berkenaan. "Pekerja penghantaran berhadapan jadual yang padat setiap hari. Ia bermakna banyak bungkusan ditinggalkan di lokasi tak selamat," ujar wakil organisasi Citizens Advice, Anne Pardoe. Untuk rekod, berlaku peningkatan pembelian atas talian untuk hadiah Krismas sejak dua tahun lalu. Ia menyebabkan ada pekerja yang perlu menyelesaikan sehingga 250 bungkusan dalam satu syif kerja mereka. Menurut seorang mangsa, Milly Ceglowski, 36, dari London, baju yang dibeli secara atas talian turut hilang selepas ia dihantar ke kediamannya. "Saya dapat email pukul 6.7 petang. Pukul 6.41, ia sudah hilang selepas dihantar di hadapan pintu rumah saya," ujarnya. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI