suria

Gudang Amazon Runtuh : Pekerja bimbang larangan bawa telefon bimbit dikuatkuasakan semula

Pekerja Amazon bimbang larangan bawa telefon bimbit dikuatkuasakan semula

SEBUAH gudang Amazon.com Inc runtuh pada malam 10 Dis yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang telah meningkatkan kebimbangan dalam kalangan tenaga kerja kolar birunya mengenai kembalinya larangan telefon mudah alih di tempatkerja.

Gudang di Edwardsville, Illinois, berhampiran St. Louis, runtuh akibat puting beliung yang melanda enam negeri di AS, meninggalkan jejak kemusnahan yang menjangkau lebih 200 batu.

Anggota kecemasan menjangkakan usaha pemulihan akan diteruskan hingga minggu depan.

Amazon sudah bertahun-tahun lamanya melarang pekerja dari membawa telefon mereka ke gudang, dan pekerja perlu meninggalkannya di dalam kenderaan atau loker pekerja sebelum melalui pemeriksaan keselamatan yang termasuk pengesan logam.

Syarikat itu menarik balik larangan semasa wabak Covid-19, tetapi telah mula memperkenalkannya semula secara beransur-ansur di fasilitinya di seluruh negara.

Lima pekerja Amazon, termasuk dua yang bekerja di seberang jalan dari bangunan yang runtuh, berkata mereka mahukan akses kepada maklumat seperti kemas kini mengenai keadaan cuaca yang boleh membawa maut melalui telefon pintar mereka - tanpa gangguan daripada Amazon.

Telefon itu juga boleh membantu mereka berkomunikasi dengan responden kecemasan atau orang tersayang jika mereka terperangkap, kata mereka.

"Selepas kematian ini, saya tak akan bergantung pada Amazon untuk memastikan saya selamat," kata seorang pekerja Amazon di Illinois.

"Jika mereka memulakan dasar tiada telefon bimbit, saya akan meletak jawatan," tambahnya.

Amazon enggan menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh pekerja mengenai dasar telefon mudah alihnya, dengan berkata tumpuannya kini adalah "untuk membantu responden pertama di tempat kejadian dan menyokong pekerja dan rakan kongsi kami yang terjejas di kawasan itu".

Kebimbangan tentang akses telefon menyerlahkan ketidakpercayaan yang mendalam antara pekerja eksekutif yang membuat peraturan dengan memberi tumpuan kepada produktiviti dan kecekapan untuk mendapatkan kelebihan daya saing manakala pekerja barisan hadapan pula sering bimbang akan keselamatan mereka. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain