suria

Masjid Nabawi umum rancangan sambung semula majlis iftar dengan protokol kesihatan ketat

Majlis iftar beramai-ramai 'digantung' selama dua tahun untuk mengekang penularan Covid-19. Foto: Saudi Gazette

PENJAGA Dua Kota Suci mengumumkan rancangan untuk menyambung semula majlis iftar atau berbuka puasa secara beramai-ramai di Masjid Nabawi sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang, selepas ia 'digantung' selama dua tahun.

Majlis iftar itu 'digantung' sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan berikutan wabak Covid-19 sejak Ramadan 1441H, yang bermula pada 24 April 2020.

Majlis iftar di Masjid Nabawi akan disambung semula di bawah protokol-protokol kesihatan yang ketat untuk membendung penularan wabak berkenaan.

Hanya mereka yang diluluskan untuk mengagihkan hidangan iftar akan dibenarkan berbuat demikian di tempat-tempat yang sudah diperuntukkan.

Had jemaah yang dibenarkan di setiap tempat akan didedahkan selepas meneliti keadaan pandemik dari semasa ke semasa.

Para penyedia juadah iftar juga dikehendaki memuktamadkan kontrak dengan syarikat-syarikat katering yang diluluskan untuk menyiapkan makanan, dengan jumlah jemaah yang duduk di satu tikar dihadkan kepada seramai lima orang bagi menjaga penjarakkan sosial dan 12 orang jika tidak melaksanakan langkah penjarakkan sosial.

Langkah-langkah ini juga termasuk duduk dalam satu barisan, menghadap ke arah kiblat.

Mereka yang diluluskan untuk menyediakan khidmat iftar perlu mengemas kini data mereka mulai bulan Rejab.- Saudi Gazette

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain