GARA-GARA disangka tidak berduit, seorang petani yang ingin membeli sebuah trak pikap Bolero dihina jurujual di bilik pameran kereta di Tumakuru, India. Kempegowda bersama rakan-rakannya juga disindir kononnya mereka tidak mungkin mempunyai walau RM50 dalam poket masing-masing. Berasa terhina selepas mendengar kata-kata tersebut, Kempegowda dan rakan-rakannya beredar tetapi sempat mencabar jurujual berkenaan bahawa dia akan kembali dengan wang tunai untuk membeli trak pikap itu dalam masa sejam. Dia juga mencabar jurujual berkenaan untuk menghantar sendiri trak pikap tersebut pada hari yang sama. Tiga puluh minit kemudian, Kempegowda kembali dengan Rs 10 lakh (RM55,781), namun jurujual tersebut meminta tempoh selama dua hari untuk menghantar kenderaan berkenaan kepadanya. Petani itu kecewa dan memfailkan aduan kepada polis tempatan. Anggota polis terpaksa memujuk petani tersebut dan rakannya untuk pulang ke rumah mereka. Bagaimanapun, Kempegowda berkata dia tidak lagi berminat mahu membeli trak tersebut. Malah Kempegowda juga menuntut permohonan maaf bertulis daripada bilik pameran berkenaan kerana mengaibkan dia dan rakan-rakannya. Video kejadian itu telah menjadi viral di media sosial dengan segelintir netizen mengecam jurujual berkenaan kerana bersikap seperti 'pilih bulu'. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI