suria

Maghribi buat persediaan urusan pengebumian Rayan

Rayan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat. Foto: AFP

URUSAN pengebumian jenazah kanak-kanak Maghribi, Rayan Awram, yang meninggal dunia selepas lima hari terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter, akan dilakukan pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan oleh ketua majlis wilayah Chefchaouen, Abderahim Bouazza.

Berita kematian kanak-kanak lima tahun itu pada Ahad bukan sahaja mengundang duka rakyat Maghribi, malah seluruh dunia turut sama 'berkabung' menangisi pemergiannya yang menyayat hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Takziah... kanak-kanak 5 tahun jatuh perigi sedalam 32 meter disahkan meninggal dunia

Pemimpin dunia turut sama menzahirkan rasa dukacita menerusi perkongsian di laman sosial.

Antaranya Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum; Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Pope Francis dan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett.

Sheikh Mohammed dalam ciapannya menulis: "Takziah dan simpati kami kepada keluarga Rayan, kepada rakyat Maghribi dan kepada semua yang berduka atas kehilangan ini. Semoga Allah merahmati rohnya dalam keamanan abadi dan memberi kita semua kesabaran dan ketenangan."

Rayan terperangkap dalam perigi berhampiran rumahnya di kampung kecil Ighrane, kira-kira 125 batu dari bandar Chefchaouen, sejak petang Selasa.

Pasukan penyelamat berusaha tanpa henti bagi menyelamatkannya termasuk membawa masuk jentolak untuk menggali tanah yang membolehkan mereka memasuki ke dalam untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.

Namun memasuki hari kelima operasi menyelamatkannya, Rayan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa ketika pasukan penyelamat menemuinya dalam keadaan mengiring.

Pihak berkuasa Maghribi mengumumkan kematiannya sejurus anggota penyelamat berjaya mengeluarkan jasad kanak-kanak malang itu dari lubang perigi berkenaan. - Gulfnews.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Rayan Awram, jatuh perigi, Mahribi

Artikel Lain