suria

Alami halusinasi gara-gara heroin, ibu tikam anak hingga mati dakwa SpongeBob SquarePants arahkan pembunuhan

Johnson menikam anak perempuannya dan mendakwa ia diarahkan oleh SpongeBob SquarePants. Foto: Iosco County Jail

SEORANG ibu muda yang berdepan dengan tuduhan menikam anak perempuannya sehingga mati telah mendakwa bahawa watak kartun SpongeBob SquarePants mengarahkan dia melakukan jenayah tersebut.

Justine Johnson, 22, berkata watak siri animasi itu memberitahu dirinya akan mati sekiranya dia tidak menuruti arahan agar membunuh anak perempuannya, Sutton Mosser, 3, lapor Daily Mail.

Johnson dituduh menikam Mosser beberapa kali pada 16 September lalu, hanya dua hari selepas ulang tahun ketiga anak kecilnya.

Wanita yang ketagih heroin selama berminggu-minggu itu didakwa memasukkan mayat anak kecilnya ke dalam beg sampah hitam.

Adik lelaki Johnson yang berusia 17 tahun kemudian menemui mayat Mosser.

Seorang penyiasat Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak, Ryan Eberline, berkata Johnson memberitahunya bahawa dia mengalami halusinasi akibat pengambilan heroin dan tidak tidur selama kira-kira dua minggu.

Tambah Eberline, Johnson juga mendakwa dia tidak ingat apa yang berlaku kepada Mosser ketika itu.

"Dia berhalusinasi daripada animasi di televisyen yang telah mengarahkannya untuk mengambil nyawa anak perempuannya sendiri atau mereka akan membunuhnya. Suara itu adalah SpongeBob yang bercakap di televisyen.

"Jika dia tidak melakukan apa yang dikatakan, mereka akan membunuhnya. Johnson berkata dia takut dan dia telah hilang kewarasan," kata Eberline.

Johnson, dari Perbandaran Oscada, Michigan, telah didakwa dengan pembunuhan dan penderaan kanak-kanak peringkat pertama.

Dia yang dipenjarakan tanpa jaminan dianggap layak untuk dibicarakan dan tarikh pendengaran pra-perbicaraan di mahkamah ditetapkan pada 28 Februari. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI