SEBUAH lukisan bernilai £740,000 (RM4,204,268) rosak gara-gara tindakan seorang pengawal keselamatan yang terlebih 'kreatif'. Menurut Associated Press, lukisan 'Three Figures' karya Anna Leporskaya yang dipamerkan di Pusat Galeri Yeltsin, barat Rusia itu diconteng dengan pen oleh pengawal keselamatan berkenaan kerana terlalu bosan. Dilaporkan kejadian berlaku pada 7 Disember lalu. Perkara itu disedari oleh beberapa pengunjung yang kemudian memaklumkan kepada pihak galeri. Pihak galeri berkata, suspek berusia lingkungan 60 tahun yang tidak dinamakan itu bekerja di sebuah syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan di galeri berkenaan. Lukisan yang dihasilkan pada tahun 1930-an itu menunjukkan tiga tiga figura tanpa wajah, di mana pengawal berkenaan menconteng karya itu untuk membentuk mata. Akibat tindakan 'vandalisme' itu, pengawal keselamatan berkenaan kemudiannya dipecat, kata pengarah eksekutif galeri, Alexander Drozdov. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI