suria

Kenali Graham... manusia mutan yang mampu hidup selepas kemalangan kereta

Graham mempunyai tubuh yang sesuai untuk selamat daripada kemalangan kereta.

BERWAJAH hodoh, Graham merupakan gambaran manusia yang boleh terselamat daripada kemalangan kereta yang dipandu pada kelajuan tinggi.

Dihasilkan daripada silikon dan rambut manusia, tubuh tanpa leher bersama mata dan hidung yang cengkung itu diciptakan oleh sekumpulan doktor termasuk artis serta pakar kemalangan kereta.

Ia juga mempunyai 'zon remuk' pada tengkoraknya di samping beg udara di antara setiap rusuk bagi mempamerkan rupa yang diperlukan manusia untuk bertahan ketika pelanggaran berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Anak lembu berkepala dua, badan seperti babi

ARTIKEL BERKAITAN: Menyayat hati... penunggang motosikal maut tersepit tayar kontena, polis kesan saksi kemalangan

Dicipta bagi menonjolkan sisi kerapuhan tubuh manusia, Graham mungkin tidak memenangi sebarang pertandingan kecantikan, tetapi dia bebas daripada kemalangan.

Walaupun berpenampilan menakutkan, dia bukanlah seorang cyborg atau mutan daripada filem cereka sci-fi, sebaliknya adalah arca ciptaan manusia.

Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan Australia (TAC) menugaskan artis yang berpangkalan di Melbourne, Patricia Piccinini untuk mencipta Graham, dengan kerjasama pakar bedah trauma Hospital Melbourne, Christian Kenfield.

Graham digambarkan dengan tengkorak yang cengkung dan tidak mempunyai leher.

Graham digambarkan dengan tengkorak yang cengkung dan tidak mempunyai leher.

Ia direka bentuk bagi mewakili rupa yang diperlukan tubuh manusia untuk hidup melalui kemalangan berimpak tinggi tanpa sebarang teknologi keselamatan kenderaan.

Pegawai TAC berharap Graham akan membantu orang ramai memahami kepentingan mereka bentuk jalan raya yang lebih selamat.

"Kereta telah berkembang jauh lebih pantas daripada manusia dan Graham membantu kami memahami mengapa kami perlu menambah baik setiap aspek sistem jalan raya demi melindungi diri daripada kesilapan kami sendiri," kata ketua eksekutif TAC Joe Calafiore dalam satu kenyataan.

Graham mempunyai kaki yang boleh dibengkokkan dari semua arah supaya mudah untuk keluar.

Graham mempunyai kaki yang boleh dibengkokkan dari semua arah supaya mudah untuk keluar.

"Ini adalah karya seni dan ia perlu dihubungkan menerusi emosi orang awam supaya tujuan penghasilannya berjaya disebar," kata Piccinini sambil menambah ideanya adalah untuk merangsang perbualan dan soalan daripada memberitahu orang apa yang perlu difikirkan atau dirasai.

Piccinini yang berpangkalan di Melbourne membinanya terutamanya daripada silikon dan rambut manusia.

Idea itu dihidupkan oleh Piccinini dalam tempoh enam bulan dengan kos $200,000 Australia (RM602, 700).

“Tubuh manusia hanya boleh menahan jumlah daya tertentu dalam kemalangan kereta. Malah, daya hentaman hanya 30km/j sudah cukup untuk membawa maut - seperti melanggar pejalan kaki atau berlanggar sebelah sisi dengan pokok," kata TAC dalam satu kenyataan di laman web mereka. - mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain