suria

Hidup semula selepas disahkan meninggal dunia, pesakit bongkar apa yang dilalui ketika mati

Sam Parnia berkata kematian boleh dianggap seperti strok. Foto: EMILIO LABRADOR/FLICKR.

SAM Parnia merupakan pengamal perubatan yang melakukan proses untuk menyedarkan semula individu yang sudah meninggal dunia.

Kisah-kisah yang diceritakannya boleh membantu menyelamatkan nyawa, malah mencabar idea saintifik tradisional tentang perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda mati hidup semula dakwa dibawa berjalan ke angkasa

"Bukti yang kami ada setakat ini ialah kesedaran manusia tidak menjadi musnah selepas meninggal. Ia berterusan selama beberapa jam selepas kematian, walaupun dalam keadaan hibernasi yang tidak dapat kita lihat dari luar," kata Parnia, seorang doktor di Hospital Universiti Stony Brook dan pengarah program penyelidikan resusitasi di institut itu.

Dalam bukunya, Parnia berkata kematian bukanlah satu momen sebaliknya satu proses yang berlaku terhadap seseorang individu.

"Terdapat satu perkara yang digunakan untuk mentakrifkan kematian. Jantung anda berhenti berdegup, otak anda mati. Itulah detik jantung terhenti. Sehingga lima puluh tahun yang lalu, apabila CPR dibangunkan, apabila anda mencapai tahap ini, anda tidak boleh kembali. Itu membawa kepada persepsi bahawa kematian tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.

"Tetapi jika saya mati seketika ini, sel-sel di dalam badan saya belum mati lagi. Ia mengambil masa untuk sel mati selepas mereka kekurangan oksigen. Ia tidak berlaku serta-merta. Kita mempunyai tempoh masa yang lebih lama daripada yang orang fikirkan. Kami tahu sekarang bahawa apabila anda menjadi mayat, apabila doktor mengisytiharkan anda mati, masih ada kemungkinan, dari perspektif biologi dan perubatan, kematian akan diterbalikkan," jelasnya.

"Sudah tentu, jika seseorang mati dan anda membiarkannya cukup lama, sel-sel menjadi rosak. Akan ada masanya anda tidak boleh membawa mereka kembali. Tetapi tiada siapa yang tahu dengan tepat bila masa itu," tambahnya lagi.

Tambah Parnia, kematian juga boleh dianggap sama seperti serangan strok.

Di dalam bukunya, Parnia turut bercerita mengenai seorang pesakit iaitu Joe Tiralosi yang kembali bernafas selepas 40 minit jantungnya berhenti.

"Saya tidak terlibat dalam penjagaannya semasa dia tiba di hospital, tetapi saya mengenali doktornya dengan baik. Apabila Tiralosi tiba, mereka menyejukkannya, yang membantu memelihara sel-sel otaknya.

"Mereka mendapati saluran tersumbat di dalam hatinya. Itu kini boleh dirawat. Dengan melakukan CPR dan menyejukkan badan, doktor berjaya membetulkannya dan memastikan dia tidak mengalami kerosakan otak.

"Apabila Tiralosi bangun, dia memberitahu jururawat bahawa dia mempunyai pengalaman yang mendalam dan ingin bercakap mengenainya. Begitulah kami bertemu. Dia memberitahu saya bahawa dia berasa sangat damai, dan melihat makhluk yang sempurna ini, penuh cinta dan belas kasihan. Ini bukan perkara biasa," dakwanya.

"Sekurang-kurangnya, ia memberitahu kita bahawa terdapat pengalaman unik yang dialami manusia apabila mereka melalui kematian. Ia universal. Ia digambarkan oleh kanak-kanak seawal usia tiga tahun. Dan ia memberitahu kita bahawa kita tidak perlu takut mati," ujarnya lagi. - Wired.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain