suria

Berpakaian seragam tentera, pasangan Ukraine berkahwin ketika bertugas di barisan pertahanan

Pasangan Valerii Flylymonov dan Lesia Ivashchenko berkahwin pada Ahad lalu.

PASANGAN tentera Ukraine yang telah bersama selama 22 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 18 tahun, akhirnya memutuskan untuk menoktahkan hubungan mereka dengan ikatan perkahwinan pada Ahad, ketika sama-sama bertugas sebagai barisan pertahanan di Kyiv.

Pengantin perempuan, Lesia Ivashchenko mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya apabila serangan Rusia bermula bulan lalu.

Dia memilih untuk menyertai pasukan pertahanan wilayah untuk mempertahankan daerahnya di pinggir Kyiv.

Sejak itu, Lesia tidak pernah melihat pasangannya, Valerii Flylymonov, sejak awal pencerobohan Rusia sehingga perkahwinan mereka pada Ahad lalu.

Itulah pertemuan pertama mereka sejak serangan ke atas Ukraine bermula, kerana mereka berkhidmat di tempat yang berbeza.

"Sudah tentu, saya gembira. Pertama sekali, saya gembira kerana kami masih hidup, suami saya masih hidup, dan dia bersama saya. Dan kami memutuskan untuk berkahwin. Siapa tahu apa yang akan berlaku esok?

"Dan kami mempunyai seorang anak perempuan dewasa, saya pasti dia gembira akhirnya kami berjaya melakukannya," katanya.

Video detik bersejarah itu telah dikongsi oleh wartawan perang Jerman, Paul Ronzheimer di media sosial.

Klip video itu menunjukkan pasangan berkenaan memakai pakaian seragam tentera mereka, dikelilingi oleh rakan-rakan seperjuangan yang menyanyikan lagu kebangsaan Ukraine untuk mereka. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain