suria

Nak melawat pakcik, kanak-kanak 9 tahun bolos naik pesawat seorang diri selepas ‘google’ di internet

Rakaman CCTV di lapangan terbang menunjukkan Emanuel Marques de Oliveira sedang berjalan seorang diri.

RAKAMAN CCTV menunjukkan detik di mana seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun membolosi kawalan keselamatan sebuah lapangan terbang selepas membuat carian di internet mengenai 'cara menyelinap di dalam pesawat'.

Emanuel Marques de Oliveira berjaya menaiki sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manaus di utara Brazil tanpa tiket, dokumen diri atau wang dan tingkah lakunya langsung tidak disedari sesiapa.

Dia 'terbang' sejauh 1,677 batu seorang diri sebelum pesawatnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos Sao Paulo.

Ketika itulah dia 'terkantoi' apabila kakitangan di lapangan terbang menangkapnya pada saat-saat akhir.

Dipercayai dia berhasrat untuk melawat bapa saudaranya di Campinas selepas bercuti di sana bersama bapanya pada Januari.

Polis Brazil berkata, budak lelaki itu bertindak bersendirian dan telah membuat carian mengenai 'cara menaiki pesawat tanpa disedari' di internet terlebih dahulu.

Kanak-kanak itu segera diterbangkan kembali kepada keluarganya, selepas hilang dari bilik tidurnya pada awal pagi 26 Februari.

Satu kenyataan menyebut pihak berkuasa 'kesal dengan apa yang berlaku dan langkah keselamatan sudah diperkukuh dan diambil untuk memastikan situasi seperti ini tidak berlaku lagi'.

Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Manaus berkata ia akan menjalankan 'semakan prosedur, dan penyesuaian dan pemodenan dalam infrastruktur'.

Ia juga akan memperkukuh 'pengawasan semasa menaiki pesawat dan mengautomasikan akses penumpang'. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain