suria

Juri lihat bukti beli rantai berlian dikaitkan dengan Rosmah

Pada 2014, Rosmah (gambar fail) turut membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta). foto ART CHEN/The Star.

JURI dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng akhirnya melihat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang yang didakwa menggunakan dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu didedahkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu yang mana rantai berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) itu direka oleh Lorraine Schwartz di New York, yang didakwa untuk isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagaimanapun, juri tidak melihat gambar atau kalung sebenar dan hanya diberikan bukti invois pembelian sebagai bahan bukti.

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh syarikat, akaun bank baharu... isteri pegawai bank Goldman Sachs didakwa 'cuci' duit 1MDB

ARTIKEL BERKAITAN: Leissner bantu dapatkan tugas pelatih di firma London, Nooryana akui gadis kopi, PowerPoint

Ketika pihak pendakwaan menggulung kes tersebut, ia juga mengemukakan kepada para juri bagaimana berbilion dolar dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.5 bilion) oleh Jho Low yang digunakan untuk membeli barangan mewah.

Low turut didakwa mengalihkan dana daripada 1MDB kepada teman rapatnya, Riza Aziz iaitu anak tiri Najib untuk membantunya menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Para juri ditunjukkan gambar sarung plastik DVD filem tersebut dan tangkapan layar yang memaparkan ucapan terima kasih kepada Low atas 'sokongannya' pada bahagian akhir filem berkenaan.

Pada 2018, syarikat penerbitan, Red Granite milik Riza pernah bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM254 juta) untuk menyelesaikan tuntutan dikemukakan Jabatan Kehakiman AS yang menuduh dia membiayai filem itu dengan wang yang didakwa menggunakan dana 1MDB.

Pendakwa raya mendakwa sebuah entiti yang dikawal Jho Low juga menggunakan dana 1MDB untuk membeli lima karya seni bernilai AS$58.3 juta (RM246.4 juta) daripada rumah lelongan Christie termasuk hasil lukisan Jean-Micel Basquiat digelar 'Dustheads' yang bernilai AS$51.8 juta (RM218.9 juta).

Bukti pembelian ditunjukkan menerusi invois yang dikemukakan kepada juri selain lakaran kecil lukisan 'Dustheads' tersebut.

Schwartz yang sebelum ini pernah mereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively mungkin menjadi saksi dalam kes tersebut.

Tetapi, dia sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.

Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.

Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.

Rekod menunjukkan, Schwartz kemudiannya menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas perdana menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Low di luar pantai Monaco.

Pada 2014, Rosmah turut membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta).

Difahamkan, Roger Ng merupakan satu-satunya bekas pegawai Goldman yang dibicarakan selepas didakwa bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner untuk membantu Jho Low menyeleweng berbilion dolar daripada tiga urus niaga bon yang dilakukan bank tersebut untuk dana kekayaan Malaysia.

Low juga turut didakwa bersama Roger Ng dalam kes penipuan tersebut.

Leissner bagaimanapun mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kes berkenaan.

Sehingga kini, AS belum mengemukakan sebarang pendakwaan ke atas Najib atau Rosmah. - Bloomberg

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain