SEORANG bapa terpaksa membawa pulang mayat anak lelakinya yang berusia 10 tahun menggunakan motosikal, selepas tidak mempunyai wang untuk membiayai kos ambulans. Lebih menyayat hati, si bapa terpaksa menunggang motosikal sejauh kira-kira 90 kilometer (km) dari hospital untuk tiba ke kampungnya. Kejadian tersebut berlaku pada Isnin lalu di Andhra Pradesh, India. Difahamkan anak lelakinya yang bernama Jaswa, 10, dimasukkan ke hospital untuk rawatan masalah hati dan disahkan meninggal dunia pada Isnin. Menurut The Times of India, pemandu ambulans di hospital itu didakwa meminta wang berjumlah Rs 20,000 (RM1,140) daripada Narsimhulu untuk menghantar mayat anaknya pulang ke kampung. Bagaimanapun lelaki berkenaan tidak mempunyai wang yang mencukupi memandangkan hanya bekerja sebagai tukang kebun. Narsimhulu kemudian meminta jasa baik majikannya untuk mengatur sebuah ambulans swasta namun berdepan masalah sama. Tidak mempunyai pilihan lain, dia terpaksa membawa pulang mayat anaknya menggunakan motosikal. Selepas video insiden itu tular di media sosial, pentadbiran daerah mengarahkan siasatan dilakukan berhubung perkara tersebut. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI