suria

Pegang rekod dunia ‘kelahiran paling ramai’, kembar 9 popular dari Mali sambut hari jadi pertama

Bayi kembar sembilan milik pasangan Halima Cissé dan Abdelkader dari Mali kini berusia setahun. Foto: Akdital

BAYI kembar sembilan (nonuplets) dari Mali yang menjadi perhatian dunia tahun lalu, menyambut ulang tahun kelahiran mereka yang pertama dalam satu majlis ringkas.

Sembilan bayi tersebut diberi gelaran kelahiran kembar paling ramai oleh Rekod Dunia Guinness.

Mereka dilahirkan pada 4 Mei 2021, memecahkan rekod bayi kembar lapan yang dilahirkan oleh seorang wanita Amerika Syarikat, Nadya Suleman pada 2009.

ARTIKEL BERKAITAN: Pada mulanya disangka tujuh, ibu muda selamat lahirkan sembilan bayi kembar!

"Mereka semua sedang merangkak sekarang. Ada yang duduk dan boleh berjalan jika berpegang pada sesuatu," kata bapa kepada kembar sembilan berkenaan, Abdelkader Arby kepada BBC.

Walaupun mengakui 'ia bukan mudah', Abdelkader berkata dia gembira melihat semua bayinya dalam keadaan yang sihat.

Sementara itu si ibu, Halima Cissé, 27, berkata semua bayinya masih di bawah jagaan sebuah klinik di Maghribi, iaitu tempat mereka dilahirkan.

Mereka sekeluarga kini menetap di rumah pangsa yang dimiliki klinik berkenaan, di mana jururawat bersedia membantu dan memastikan kesemua bayi mematuhi diet yang ketat supaya mendapat semua nutrien yang diperlukan.

Majlis hari jadi tersebut turut diraikan bersama beberapa orang jururawat dan jiran. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain