KEADAAN cuaca panas melampau di India ternyata menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk. Terbaharu, ribuan burung jatuh dari langit ketika negara itu dilanda gelombang panas. Suhu udara yang mencecah 46 darjah celsius turut memberi kesan kepada alam sekitar. Penyelamat haiwan di Gujerat berkata, beribu-ribu burung telah mati akibat gelombang panas itu. Burung-burung itu jatuh dari langit semasa gelombang panas yang terik. Doktor di hospital veterinar di bandar Ahmedabad tiba-tiba menjadi sibuk apabila berpuluh-puluh ekor burung dihatar untuk menerima rawatan. Doktor dan jururawat memberi tablet multivitamin dan menyuntik air ke dalam mulut burung untuk mengelakkan dehidrasi. "Tahun ini antara yang terburuk sejak kebelakangan ini. Kami melihat peningkatan sepuluh peratus dalam jumlah burung yang perlu diselamatkan," kata Manoj Bhaskar, wakil penyelamat burung dalam temubual dengan Al-Jazeera. India telah mengalami beberapa siri gelombang haba yang memecahkan rekod tahun ini. Pakar di India mengaitkan fenomena gelombang haba dengan kesan perubahan iklim. Menurut Jabatan Meteorologi India, Mac adalah yang paling panas, manakala barat laut dan tengah India turut mengalami gelombang haba sejak awal April. Beberapa kawasan di India diselubungi suhu panas seperti di New Delhi yang mencecah 40 darjah Celsius Khamis lalu, kemudian meningkat sehingga Ahad. Kerajaan turut meminta sekolah memulakan aktiviti awal pagi bagi mengelak kesan gelombang panas ini. - Detik. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI