suria

Wanita dakwa kerosakan pintu elektrik punca suami gagal diselamatkan, rentung dalam Tesla selepas terlibat nahas

Omar ditemui rentung dalam kereta Tesla Model S miliknya selepas terlibat dalam satu nahas pada Februari 2019 di Florida. Foto: Twitter

SEORANG isteri memfailkan saman terhadap kematian suaminya dengan mendakwa lelaki itu 'boleh diselamatkan' jika bukan kerana kerosakan elektrik di pintu kereta Tesla yang dipandunya.

Wanita bernama Liliana itu dalam tuntutan samannya mendakwa, suaminya Dr Omar Awan, 48, terperangkap di dalam kereta dek kerosakan pada pintu sehingga menghalang polis menyelamatkannya.

Omar ditemui rentung dalam kereta Tesla Model S miliknya selepas terlibat dalam satu nahas yang berlaku pada Februari 2019 di Florida.

Liliana mendakwa Tesla wajar dipersalahkan kerana reka bentuk 'cacat' pada Model S, yang didakwa menghalang polis dan responden pertama daripada menyelamatkan suaminya.

Walaupun Tesla menafikan dakwaan itu, laporan polis yang difailkan oleh pegawai Jabatan Polis Davie, yang menyiasat nahas itu, memberitahu terdapat kegagalan pada pemegang pintu.

Tesla dalam pembelaannya berkata Omar terjejas oleh tahap alkohol yang melebihi had undang-undang sebagaimana menurut laporan toksikologi polis, dan menafikan dakwaan kemalangan itu berpunca daripada reka bentuk 'cacat'.

Menurut laporan polis, Omar memandu laju ketika kemalangan, dengan keretanya bergerak pada kelajuan sekitar 79mph (127km/j).

Seorang pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan kemudian memutuskan bahawa Omar mati akibat terhidu asap dan melecur, dan bukannya kerana terperangkap di dalam Tesla. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain