SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia di Royal Adelaide Show selepas pengendali permainan di karnival berkenaan tidak mengendahkan arahan keselamatan, demikian hasil penemuan yang didedahkan seorang koroner. Adelene Leong, dari Malaysia, melawat karnival yang dianjurkan di Australia itu bersama ibunya sewaktu mereka bercuti pada 2014. Semasa menaiki permainan 'Airmaxx 360', gadis kecil itu terkeluar daripada halangan dan terpelanting ke udara, sebelum terjatuh ke tanah. Lebih tragis, kejadian berlaku di hadapan ibunya dan beberapa pengunjung lain. Gadis kecil itu disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan yang disebabkan ketika terjatuh. Inkues kematian Adelene diberitahu bahawa permainan 'Airmaxx 360' adalah yang pertama seumpamanya yang diimport ke Australia pada 2013 tetapi tidak menjalani proses pendaftaran reka bentuk yang diperlukan, sebaliknya mereka menggunakan pensijilan untuk permainan yang serupa. Menerusi syarat yang dimaklumkan kepada pengunjung, permainan itu mengenakan keperluan ketinggian minimum 120 sentimeter (cm) untuk penunggang yang tidak ditemani penjaga, walaupun pengeluar dari Sepanyol mengesyorkan syarat ketinggian minimum 140 cm. Adelene berketinggian 137 cm ketika kejadian yang menyaksikannya terjatuh sehingga meninggal dunia. Timbalan Koroner Negeri, Ian White memberitahu mahkamah pada Rabu bahawa kematian Adelene boleh dielakkan, sekiranya pengendali tidak mengabaikan keperluan syarat ketinggian pengeluar. - Mirror.co.uk Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI