SEORANG pemuda berusia 19 tahun ditemui selepas beberapa jam berkongsi satu posting mengenai 'kematian di usia muda' di TikTok. Beberapa jam sebelum kematiannya yang menyayat hati, pemuda itu, Cooper Noriega berkongsi 'pendapat' bersama 1.77 juta peminatnya dengan kapsyen 'Siapa lagi yang fikir mereka akan mati pada usia muda?'. Semakan yang diperoleh Daily Star mendapati Cooper, meninggal dunia di sebuah tempat letak kereta dekat Los Angeles, California di Amerika Syarikat. Kes mengenai kematiannya masih dalam siasatan. Memetik laporan TMZ, seorang orang awam menghubungi panggilan kecemasan pada petang Khamis (9 Jun) selepas mendapati Cooper tidak sedarkan diri di tempat letak kereta. Siasatan awal paramedik mengatakan Cooper tidak berada di dalam kenderaan ketika ditemui dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda trauma yang boleh dilihat sebagai bukti. Beberapa hari sebelum kematiannya, Cooper menerusi Instagram mendedahkan bahawa dia telah membuat saluran Discord untuk membantu mereka yang berhadapan dengan kesihatan mental. "Saya bergelut dengan 'ketagihan' sejak berumur 9 tahun. Kamu mungkin fikir itu sesuatu yang tidak waras, tetapi itulah kehidupan yang saya lalui. "Saya mahu menggunakan pengaruh yang diberikan kepada saya ini untuk mewujudkan ruang yang dibina atas kesedaran dengan menyebarkan dan normalisasikan bercakap tentang penyakit mental," katanya. -Daily Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI