suria

Selalu pakai ‘plaster’ di jari, ramai tertanya-tanya apa berlaku kepada Kate Middleton... Istana Buckingham jawab ‘tiada komen’

Kate dilihat beberapa kali mengenakan 'plaster' pada jarinya.

PENAMPILAN anggun Kate Middleton sememangnya mencuri tumpuan setiap kali Duchess of Cambridge itu muncul di khalayak.

Seperti biasa, kemunculannya sewaktu menghadiri sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II bersama Putera William serta dua anak mereka, Putera George dan Puteri Charlotte baru-baru ini, menjadi perhatian ramai.

Namun apa yang lebih menarik perhatian rata-rata peminat kerabat diraja Britain itu adalah pembalut luka (plaster) yang dilekatkan di ibu jari Kate, sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi dan andaian.

Rata-ratanya tertanya-tanya mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada Kate sehingga menyebabkan kecederaan dan menutupinya dengan 'plaster'.

Namun di tengah-tengah spekulasi yang bertebaran, Kate umumnya diketahui seorang yang gemar memasak dan berkebun.

Kate juga merupakan ibu kepada tiga anak kecil, sekaligus dilihat sebagai alasan 'logik' sekiranya dia terdedah kepada kecederaan kecil.

Bagaimanapun apa yang menjadi tanda tanya ramai, Kate sudah beberapa kali dilihat mengenakan 'plaster' pada jarinya.

Pada tahun 2019, Kate turut memakai 'plaster' di jari ketika menghadiri Pertunjukan Bunga RHS Chelsea, dan begitu juga pada tahun sebelumnya.

Pada 2016, Kate dikesan mengenakan 'plaster' pada ibu jari kirinya sambil membimbing Puteri Charlotte di gereja di Berkshire.

Apabila diajukan soalan mengenai plaster di jari Kate, Istana Buckingham menegaskan: "Kami tidak mempunyai komen mengenai plaster itu". - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain