suria

Lelaki cuba jual rumah bekas kekasih RM5.36 juta selepas kena tinggal terima padah

Graham mengendap bekas teman wanitanya selama lima bulan. foto DorsetPolice/BNPS

SEORANG lelaki yang cuba menjual rumah bekas kekasihnya selepas ditinggalkan dihukum penjara.

Graham Harmes, 69, mengendap bekas teman wanitanya Dr Margit Szel, 70, selama lima bulan selepas hubungan mereka putus.

Dia beberapa kali menceroboh masuk ke rumah mewah tepi laut di Dorset, England untuk memindahkan atau memecahkan harta benda dan mengambil dokumen penting.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terselamat daripada diculik bekas kekasih selepas guna isyarat tangan TikTok untuk minta pertolongan

Harmes meletakkan gam kuat pada kunci rumah dan mengatur ejen hartanah melihat sekeliling rumah, mengambil gambar dan meletakkannya di pasaran semasa ketiadaan Dr Szel.

Pada satu tahap, jiran Dr Szel, Jennet Bennett menyaksikan Harmes merosakkan kereta wanita itu dan melaporkannya kepada polis.

Sebagai tindakan balas, Harmes merosakan kereta Range Rover milik jiran itu dengan membakarnya pada tengah malam, menyebabkan letupan berlaku di luar kediamannya.

Harmes mengaku bersalah mengendap, membakar secara melulu menyebabkan nyawa terancam dan mengugut saksi.

Mahkamah Bournemouth menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan lima bulan kepada Harmes, dengan tempoh tahanan selama tujuh bulan, dan hukuman dikira sejak Oktober lalu.

Harmes yang merupakan bapa kepada tiga anak, mengalami masalah kesihatan mental susulan kematian isterinya akibat tumor otak sebelum bertemu dengan Dr Szel.

Pasangan itu menjalinkan hubungan selama tujuh tahun dan membeli rumah berharga £1 juta (RM5.36 juta) yang menghadap laut di Bowleaze Cove, Weymouth.

Namun, hubungan itu terputus menjelang Krismas 2020.

Dr Szel berkata, mereka bersetuju Hermes akan memindahkan bahagian harta mereka kepadanya dan dia akan membayarnya £1,000 (RM5,360) sebulan selama 10 tahun.- Metro

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain