suria

Doktor haiwan tak pulang selepas keluar bertugas, keluarga dakwa diculik dan dipaksa berkahwin

Video memaparkan majlis perkahwinan doktor tersebut kemudian dihantar kepada keluarganya.

SEORANG doktor veterinar yang tidak pulang ke rumahnya selepas keluar bertugas didakwa diculik dan dipaksa berkahwin dengan seorang gadis.

Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin baru-baru ini, doktor bernama Satyam dikatakan meninggalkan rumahnya untuk merawat haiwan.

Keesokan harinya, ahli keluarga doktor berkenaan menerima video dari nombor telefon bimbitnya sendiri, memaparkan dia sedang bersedia untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis.

Bapa kepada doktor itu kemudian membuat laporan polis dan mendakwa anak lelakinya diculik dan dipaksa berkahwin.

Menerusi video yang tular di media sosial itu, ia menunjukkan Satyam sedang duduk bersama 'pengantin perempuan' sambil dikelilingi beberapa wanita dan seorang sami melaungkan mantera.

Dilaporkan, perkahwinan tersebut berlangsung di sebuah kampung lain, juga terletak di daerah Begusarai.

"Siasatan polis mendapati Satyam pernah berkunjung ke rumah gadis itu kerana merawat lembu. Kedua-duanya suka antara satu sama lain.

"Pada hari Isnin, dia dipanggil oleh keluarga gadis itu dan mereka berkahwin. Video itu dirakamkan di rumah ibu saudara gadis itu," kata seorang jurucakap polis.

Jurucakap itu juga berkata, hanya Satyam yang boleh mengesahkan sama ada dia berkahwin secara paksa atau mengikut kehendaknya sendiri. - Times of India

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain