SEKUMPULAN monyet menceroboh sebuah rumah lalu melarikan seorang bayi berusia sebulan yang sedang disusukan ibunya. Menurut Dar es Salaam, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.00 petang di kampung Mwamgongo, yang berkongsi sempadan dengan Taman Negara Gombe di Kigoma. Kejadian bermula apabila ibu bayi malang itu, Shayima sedang menyusukan anaknya di luar rumah apabila secara tiba-tiba haiwan berkenaan menceroboh dan merampas bayi daripadanya. “Memang benar. Bayi itu bersama ibunya di luar rumah mereka apabila sekumpulan monyet menyerbu dan membawa anak kecil itu,” kata Komander Polis Wilayah Kigoma, James Manyama, melalui satu kenyataan pada 20 Jun 2022. Kejadian itu menyebabkan si ibu menjerit meminta pertolongan penduduk kampung yang kemudian bergegas ke rumahnya untuk membantu mendapatkan anaknya kembali. Penduduk kampung terpaksa menggunakan ‘kekerasan’ untuk mendapatkan kembali bayi tersebut daripada tangan salah seekor monyet. Bayi tersebut berjaya dirampas kembali tetapi malangnya dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran, akibat mengalami kecederaan di kepala dan leher. Menurut penduduk, kejadian sedemikian bukanlah perkara ‘luar biasa’ memandangkan kampung mereka berkongsi sempadan dengan Taman Negara Gombe. - The Citizen Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI