PERJUANGAN seorang ibu 'menghalalkan' ganja perubatan demi anaknya yang sakit meraih perhatian netizen di Indonesia. Tindakannya itu mendapat sokongan netizen gara-gara membawa sekeping kertas dengan tuntutan penuh emosi ke Mahkamah Perlembagaan pada Ahad. "Tolong anak saya perlukan ganja perubatan," tulis wanita itu di atas sekeping kertas bersaiz besar. Dia hadir ke lokasi itu sambil membawa anaknya yang diletakkan di atas kerosi roda. Perjuangan wanita ini turut mendapat perhatian Dwi Pertiwi yang juga ibu kepada Allahyarham Musa, seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia pada usia 16 tahun pada Disember 2020 selepas bertarung dengan cerebral palsy. Menurut Dwi, wanita dalam foto tular itu dikenali sebagai Santi dan dia sedang berjuang agar ganja perubatan dibenarkan untuk merawat anaknya. Dia mempunyai anak tunggal, Pika, yang juga sedang melawan cerebral palsy dan mengalami sawan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Menurut Dwi, keadaan Pika juga berterusan menjadi lemah jika kerap diserang sawan. "Seperti yang saya katakan banyak kali, sawan adalah ketakutan bagi semua ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap cerebral palsy. "Dan pengalaman saya menunjukkan hanya ganja boleh menghentikan sawan tanpa sebarang kesan sampingan," kata Dwi sambil mengenangkan anaknya yang sudah meninggal dunia. Sebagai ibu yang turut merasai keperitan perjuangan Santi, Dwi merasakan Pika berhak untuk sembuh dengan harapan Mahkamah Perlembagaan segera membenarkan ganja perubatan untuk rawatan. “Santi berjuang supaya nasib anaknya tidak berakhir seperti anak saya yang perlu mati hanya kerana kita masih menunggu pengesahan daripada Mahkamah Perlembagaan Yang Berhormat,” jelasnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI