PENGELUAR kereta elektrik China, Nio memaklumkan dua individu maut apabila sebuah kenderaan keluaran syarikat itu terjatuh dari tingkat tiga ibu pejabatnya di Shanghai. Seorang kakitangan dan seorang pekerja daripada syarikat rakan kongsi maut selepas kereta yang diletakkan dalam ruangan di tingkat tiga bangunan terjunam jatuh ke atas jalan. Mangsa yang maut berada di dalam kenderaan ketika ia jatuh dari bangunan. Nio berkata pihak mereka segera memulakan siasatan ke atas insiden itu dengan kerjasama pegawai kerajaan. "Syarikat kami telah bekerjasama dengan jabatan keselamatan awam untuk melancarkan siasatan dan analisis punca kemalangan. "Berdasarkan analisis keadaan di tempat kejadian, kami pada mulanya boleh mengesahkan bahawa ini adalah kemalangan (bukan disebabkan oleh kenderaan). "Kami berasa sangat sedih dengan kemalangan ini dan ingin merakamkan ucapan takziah kepada rakan sekerja dan pekerja rakan kongsi kami yang kehilangan nyawa. Satu pasukan telah ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa," ujar kenyataan itu. - BBC. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI