suria

Tak control ayu, wanita selamba panjat tingkap kaunter drive-thru McD... masuk dapur siapkan order sendiri! Apa sebenarnya yang berlaku?

Aksi lucu seorang pelanggan wanita memanjat tingkap kaunter pandu lalu McDonald's menjadi tular di TikTok.

SEORANG wanita bertindak nekad dengan memanjat tingkap di kaunter pandu lalu (drive-thru) restoran McDonald's untuk masuk ke dapur dan menyediakan sendiri hidangan yang dipesannya.

Video wanita tersebut yang langsung tidak segan memanjat melalui tingkap pandu lalu sambil memakai gaun berwarna merah jambu dan berkasut tumit tinggi menjadi tular di TikTok.

Namun, wanita itu bukanlah menceroboh sebaliknya dia masuk ke dapur restoran makanan segera tersebut dengan kebenaran.

Semuanya bermula apabila kakitangan restoran makanan segera tersebut kehabisan sarung tangan dan mereka tidak dapat menerima pesanan seterusnya atas faktor kebersihan.

Disebabkan terlalu ingin menikmati pesanannya, wanita tersebut memberitahu dia boleh menyediakan makanannya sendiri dengan bantuan kakitangan restoran.

Selepas mendapat kebenaran pengurus, wanita tersebut terlalu teruja lantas memanjat tingkap kaunter pandu lalu untuk masuk ke dapur.

Aksi lucu wanita berkenaan sempat dirakam malah kakitangan restoran tersebut juga tidak dapat menahan ketawa mereka.

Klip video tersebut telah tular di media sosial, dengan ramai netizen turut terhibur dengan aksi wanita berkenaan. - Timesnownews

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain