suria

Wanita muda bertarung nyawa lebih 3 minggu di hospital selepas jangkitan merebak ke otak, puncanya tindikan di bibir!

Andressa meninggal dunia kerana jangkitan yang berpunca daripada tindikan pada bibirnya.

SEORANG wanita muda meninggal dunia gara-gara mengalami jangkitan selepas melakukan tindikan pada bahagian bibirnya, yang akhirnya merebak ke otak.

Andressa Souza, 20, meninggal dunia selepas 24 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital da Vida di Dourados, selatan Brazil.

Doktor mendapati dia mengalami jangkitan pada otak selepas menindik bibir.

Ibu kepada Andressa, Maria Aparecida da Silva memberitahu media tempatan bahawa anak perempuannya menindik bibir bawah dua bulan sebelum terkena jangkitan maut itu.

Tidak dapat memastikan premis di mana Andressa melakukan tindikan, Maria berkata dia hanya mengingati anaknya membayar £9 (RM47.50) untuk prosedur tersebut.

Ujar Maria, Andressa mula mengalami sakit kepala dan demam yang teruk pada 13 Jun.

Kata wanita itu lagi, dia pada mulanya menyangka Andressa diserang demam denggi kerana terdapat penularan di kawasan kejiranan mereka, lalu segera membawa anak gadisnya itu ke hospital.

Bagaimanapun Andressa terpaksa ditempatkan di wad ICU selepas keadaan kesihatannya merosot dengan pantas.

Dia menjalani pembedahan dan diintubasi, namun meninggal dunia pada 9 Julai lalu.

Doktor memaklumkan ibunya bahawa jangkitan itu, yang telah memasuki salur darah Andressa melalui aksesori tindikan berkenaan, telah merosakkan 37 peratus otak anak perempuannya.

Menurut doktor, sekalipun jika terselamat, Andressa mungkin akan terus tidak sedarkan diri kerana kegagalan fungsi otak. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain