SEORANG remaja perempuan berusia 15 tahun menyorok di sebuah kediaman kosong kerana risau rahsia mengenai kehamilannya terbongkar. Pelajar sekolah menengah dari Kabupaten Pati, Jawa Tengah itu dilaporkan hilang sejak awal Mei lalu sebelum ditemui semula oleh keluarganya dalam keadaan daif di sebuah rumah kosong, baru-baru ini. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pati AKP Ghala Rimba Doa Sirrang berkata, berdasarkan maklumat keluarga, beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri, remaja itu keluar rumah tanpa pengetahuan keluarganya. Sebelum ini, dia mengaku pernah berjumpa dengan seorang lelaki dikenali sebagai PH yang juga penduduk Daerah Dukuhseti. “Setelah berbulan-bulan dicari oleh keluarganya, mangsa ditemui di sebuah rumah kosong pada 31 Julai lalu. Kes ini kemudian dilaporkan ke polis pada 1 Ogos lalu,” kata Ghala. Remaja itu dilaporkan hilang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu. Ketika ditemui oleh keluarganya, gadis itu berada dalam keadaan kritikal dan tidak berdaya, malah badannya kurus dan lemah. Gadis yang direkodkan mengalami trauma teruk itu menerima rawatan di Hospital RAA Soewondo Pati Polis dan Khidmat Sosial Daerah Pati turut campur tangan memberikan bantuan psikologi dan kesihatan kepada mangsa. “Hasil ujian, mangsa hamil tiga atau empat bulan,” kata Ghala. Menurut siasatan polis, dia disyaki menjadi mangsa hamba seks dan didakwa ditawan, diseksa serta dirogol berkali-kali. "Dakwaan sementara membawa kepada itu. Masih tak banyak maklumat, mangsa masih trauma. Kita sedang mencari suspek pelakunya. "Identiti pelaku hanya seorang. Apabila kita sudah menahan dan ada juga kenyataan daripada mangsa, barulah diketahui sama ada terdapat pelaku lain atau pun mangsa lain," kata Ghala. - Kompas. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI