DUA penumpang dan seorang juruterbang dikejarkan ke hospital berikutan nahas pesawat ringan di Lapangan Terbang Cotswold pada Khamis. Kejadian itu kini sedang disiasat oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB). Difahamkan, pesawat itu hilang kawalan sehingga melepasi landasan dan terbabas ke dalam dalam parit, memaksa penumpang dan juruterbang untuk 'menyelamatkan diri' sendiri sebelum pihak berkuasa tiba. Perkhidmatan kecemasan kekal di tempat kejadian dan jalan ditutup di kedua-dua arah ketika siasatan dijalankan. Menurut pihak polis, tiada kematian atau kecederaan serius dalam kejadian itu, lapor WiltshireLive. "Sejurus selepas jam 10.30 pagi, kami menerima laporan mengenai sebuah pesawat ringan yang kelihatan melepasi landasan di Lapangan Terbang Cotswold, berakhir di dalam parit. "Tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan. Juruterbang dan dua penumpang telah dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga. "AAIB telah dimaklumkan. Jalan itu akan ditutup selama beberapa jam untuk membolehkan penyingkiran bahan api dan serpihan," ujar jurucakap polis. Beberapa anggota bomba dan penyelamat Dorset dan Wiltshire turut dihantar ke tempat kejadian kira-kira jam 10.41 pagi Khamis. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI