suria

Tentera Myanmar tahan dua model kerana hasilkan video tak senonoh, bakal terima padah kerana cemarkan budaya dan maruah

Dua model itu menghadapi tuduhan "memudaratkan budaya dan maruah" kerana penghasilan video tidak sopan.

DUA model terkenal Myanmar ditangkap pada Jumaat dan kini menghadapi tuduhan "memudaratkan budaya dan maruah" kerana menyiarkan klip dalam talian, termasuk ke platform video dewasa OnlyFans.

Nang Mwe San didakwa "mengedarkan gambar dan video lucah berbayar yang boleh memudaratkan budaya dan maruah Myanmar," kata wakil pemerintah tentera negara itu dalam satu kenyataan.

Thinzar Wint Kyaw, seorang lagi model dan pelakon terkenal dengan lebih 1.5 juta pengikut Instagram, didakwa menyiarkan video serupa dengan menerusi laman Exantria.

Mereka telah berbuat demikian "tanpa kesopanan yang sepatutnya dikekalkan oleh wanita Myanmar," kata kenyataan itu lagi.

Mereka akan menghadapi pertuduhan di bawah undang-undang transaksi elektronik, yang membawa tempoh hukuman maksimum lima belas tahun.

AFP tidak dapat mengesahkan kandungan video yang didakwa lucah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemaluan patah gara-gara aksi ganas dengan isteri, warna bertukar ungu... Lelaki 50 tahun terpaksa dibedah

Sejak merampas kuasa tahun lalu junta telah berulang kali mendakwa bahawa budaya tradisional di negara penganut agama Buddha itu telah diserang semasa pemerintahan demokrasi Aung San Suu Kyi.

Orang lain yang menyiarkan ke laman web yang sama dan "memudaratkan keaiban dan kesopanan wanita Myanmar akan diketahui dan tindakan berkesan akan diambil terhadap mereka," tambah kenyataan itu.

Nang Mwe San yang dilatih sebagai doktor, telah dibatalkan lesen perubatannya oleh Majlis Perubatan Myanmar pada 2019 selepas dia berkata pakaiannya bertentangan dengan "budaya dan tradisi Myanmar".

Thinzar Wint Kyaw telah ditahan oleh tentera bulan lalu selepas mengembara ke kawasan yang dikuasai pemberontak etnik.

Kedua-duanya tidak aktif di Instagram sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Negara itu bergolak sejak rampasan kuasa tahun lalu, dengan pertempuran merentasi seluruh negara sehingga mengganggu ekonomi.

Junta telah menyekat kebebasan akhbar, menangkap wartawan dan jurugambar, serta membatalkan lesen penyiaran ketika negara itu dilanda huru-hara. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain