SEORANG bekas pegawai polis Hong Kong dipenjara selama empat tahun atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh terhadap kanak-kanak bawah umur. Dia dijatuhkan hukuman itu selepas didapati bersalah kerana memaksa anak lelakinya menonton pornografi dan melakukan perbuatan lucah ke atas dirinya sendiri. Hakim Mahkamah Tinggi Alex Lee Wan-tang pada Khamis berkata, defendan berusia 48 tahun telah merosakkan minda anak lelakinya yang masih remaja dengan tindakannya itu. Pegawai yang tidak didedahkan identitinya itu melakukan empat kesalahan tidak senonoh terhadap anaknya yang kini berusia 15 tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Rogol, amang seksual, seks luar tabii dengan 2 anak... bapa dipenjara 428 tahun, 240 sebatan Ketika perbicaraan, anaknya berkata bapanya memaksa dia menonton video lucah, menunjukkan alat kelaminnya dan melakukan perbuatan tidak senonoh berkali-kali antara 2016 dan 2018, dengan insiden pertama berlaku apabila dia baru berusia 10 tahun. Bekas anggota polis itu turut mengugut untuk memukul anaknya dengan kayu rotan atau pisau dapur jika dia enggan mematuhinya, kata remaja itu. Dia telah dipecat pada Mei 2020 berikutan dua kali ketidakhadiran tanpa kebenaran. Mangsa pula dua kali dimasukkan ke hospital pada awal 2019 kerana nyaris membunuh diri akibat tekanan perasaan. - SCMP. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI