suria

Selepas bawa singki masuk pejabat Twitter, Elon Musk pecat 4 pimpinan tertinggi pula

Elon Musk mengusung singki ke pejabat Twitter.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Elon Musk akhirnya memiliki Twitter secara rasmi dengan nilai AS$44 juta (RM207.6 bilion) pada Khamis.

Menurut New York Times, perkhabaran tersebut datang daripada sumber terdekat dengan Twitter.

Tanpa menunggu terlalu lama, pada hari yang sama, Musk dikatakan terus 'membersihkan' Twitter. Pemilik Tesla itu memecat empat pimpinan eksekutif di Twitter.

Empat eksekutif yang dipecat oleh Musk termasuk CEO Parag Agrawal, Ketua Pegawai Kewangan Ned Segal, Ketua Hal Ehwal Undang-undang serta Dasar Twitter Vijaya Gadde dan penasihat umum Sean Edgett.

Malah, menurut maklumat daripada sumber dalaman, semua eksekutif yang dipecat diminta segera meninggalkan pejabat selepas perjanjian dimeterai di ibu pejabat Twitter di San Francisco.

Untuk rekod, Agrawal dilantik sebagai CEO pada November 2021, menggantikan Jack Dorsey.

Dalam beberapa bulan terakhir, Agrawal secara terbuka berselisih faham dengan Musk berkaitan Twitter sehingga Musk hampir batal membeli Twitter.

Musk mendakwa mereka memberikan data yang salah tentang jumlah pengguna dan akaun palsu di Twitter.

Bapa kepada lima anak ini juga mengkritik peranan Gadde dalam keputusan kandungan moderasi di Twitter. Namun, bos-bos Twitter yang dipecat itu belum memberikan komen berhubung perkara ini.

Musk sebelum ini mempunyai masa sehingga Jumaat (28 Oktober) untuk memuktamadkan pembelian Twitter tetapi berjaya menyelesaikan proses sehari lebih awal.

Gelagat Musk untuk membeli Twitter dapat dilihat apabila lelaki berusia 51 tahun ini hadir ke ibu pejabat Twitter di San Francisco pada Rabu.

Dia berkongsi video pendek berdurasi sembilan saat di akaun Twitter peribadinya @elonmusk ketika mengunjungi pejabat Twitter.

Dalam video tersebut, Musk dilihat tersenyum ketika berjalan ke lobi utama dengan mangkuk singki berwarna putih. Musk juga menulis keterangan.

"Masuk ke pejabat Twitter - let that sink in!"

Tidak jelas dari mana datangnya singki itu dan apa tujuan Musk membawanya ke pejabat Twitter. Namun, ia boleh menjadi simbol bahawa Musk akhirnya akan membuat pembersihan di Twitter.

Sebelum ini, dia merancang untuk 'memusnahkan' bot spam di Twitter. Algoritma untuk mengesan akaun palsu akan diperkenalkan.

Selain itu, CEO Tesla dan SpaceX itu juga pernah berkata ingin mencegah Twitter daripada menjadi ruang kebencian dan perpecahan.

Namun, Musk belum menjelaskan secara terperinci tentang strateginya untuk Twitter.

Pada Khamis, Musk berkata dia tidak membeli Twitter untuk mengaut keuntungan tetapi melakukannya 'demi kemanusiaan, yang saya cintai'.

Artikel Lain