BANYAK kita lihat video gelagat haiwan comel dan adakala menunjukkan reaksi menyentuh hati yang dikongsi di media sosial. Tetapi jarang sekali dapat kita lihat haiwan liar menyelamatkan mangsanya yang berada dalam situasi bahaya. Seekor beruang di Zoo Budapest menyentuh emosi warganet apabila bertindak menyelamatkan seekor burung gagak yang sedang lemas dalam kolam. Apa yang mengkagumkan, beruang itu, yang diberi nama Vali langsung tidak menyerang atau cuba makan burung itu selepas ia diselamatkan. Video tular itu dikongsi di Twitter oleh pengguna, @fasc1nate. Permulaan video menunjukkan Vali sedang berjalan di sekitar kolam dan melihat seekor burung gagak mengepakkan sayapnya dalam air. Burung itu jelas sekali sedang 'bergelut' untuk keluar dari kolam. Menyedari gagak itu dalam bahaya, Vali bergerak sedikit ke hadapan sebelum menangkap gagak itu dengan kakinya. Vali kemudian menggigit sayap burung itu dalam usaha membawanya keluar dari kolam. Beruang itu kemudian dilihat terus berjalan meninggalkan mangsanya manakala gagak tersebut cuba untuk terbang dalam keadaan basah. Setakat ini, video ini sudah mencapai lebih dari 4.5 juta tontonan dengan ramai yang memberi tanda 'like'. Seorang pengguna menulis: "Gagak itu tak akan melupakan apa yang dilakukan beruang itu kepadanya." Seorang lagi pengguna menambah: "Bandingkan manusia dengan mereka. Manusia akan ketawa dan merakamnya tanpa membantu walaupun yang lemas itu spesies yang sama." - Indiatimes Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI